Pesilat
Negara, Farah Fariena Mohd. Zain cuba menjatuhkan lawannya dari
Vietnam, Dao Thi Hong Nhung pada perlawanan akhir Kejohanan Silat Remaja
Dunia 2015, di Stadium Titiwangsa hari ini.
KUALA LUMPUR - Skuad pelapis silat remaja negara, Farah Fariena Mohd.
Zain terus unggul apabila menewaskan pesilat Vietnam, Dao Thi Hong
Nhung pada Kejohanan Silat Remaja Dunia 2015 di Stadium Titiwangsa,
malam ini.
Pada pertarungan edisi ketiga itu, pesilat kelahiran Terengganu ini
tidak memberi peluang kepada Dao Thi apabila membuat beberapa jatuhan
untuk meraih keputusan 5-0 kategori H Puteri.
"Perlawanan ini sangat sukar terutamanya bertemu dengan pasukan
Vietnam yang pasti memberi tentangan yang hebat. Namun, ia tidak
mematahkan semangat saya untuk bangkit.
"Syukur selama ini usaha saya berhasil apabila memperolehi emas
keenam negara dalam acara silat remaja dunia ini," katanya kepada Kosmo!
selepas tamat perlawanan hari ini.
Sementara itu, dalam perlawanan akhir kedua tidak menyebelahi wakil
pesilat puteri negara, Amirah Izwana Samsul Bahri apabila tewas kepada
pesilat Thailand, Puntiyakon Phimpisan 0-5.
Sehingga kini, Malaysia telah memenangi lima pingat emas pada
kejohanan itu dalam kategori silat seni berpasukan lelaki dan wanita
semalam.
Kejohanan itu disertai seramai 128 atlet, 44 pegawai dan jurulatih
dari 12 negara iaitu Singapura, Australia, Azerbaijan, India, Jerman,
Bangladesh, Rusia, Vietnam, Korea Selatan, Thailand, Indonesia serta
Malaysia selaku tuan rumah. - K! ONLINE
Bacaan tambahan: Perkembangan dunia persilatan.
MALAYSIA muncul juara Kejohanan Silat Remaja Dunia selepas mengutip 15 pingat emas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________
SILAT mungkin tidak popular seperti sukan bela diri yang lain seperti
taekwondo dari Korea Selatan, Muay Thai dari Thailand atau Jiu Jitsu
dari Jepun, tetapi sukan seni mempertahankan tradisional dari Nusantara
itu makin dikenali dan diterima oleh masyarakat di seluruh dunia.
Selepas beberapa usaha yang dilakukan oleh Persekutuan Silat
Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dalam memartabatkan seni pertahankan diri
itu ke pentas dunia hampir menjadi kenyataan selepas beberapa negara
Eropah dan Korea Selatan menyatakan minat terhadap sukan tempur
tersebut.
Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata,
selepas 30 tahun silat dikembangkan ke seluruh dunia, sukan bela diri
itu telah mendapat sambutan hangat apabila tahun lalu lebih 45 negara
telah menyertai Kejohanan Dunia Silat kali ke-16 di Phuket, Thailand dan
tidak mustahil jumlah itu akan meningkat pada kejohanan sama di Bali
tahun ini.
Katanya, penganjuran acara silat dalam Sukan SEA sebelum ini dan
perlawanan sulung acara silat pada temasya Sukan Asia bagi tahun 2018
dilihat mampu menjadi platform terbaik untuk dikembangkan.
Menurutnya, peluang itu mampu membuka lembaran baharu kepada penggiat
seni pertahanan diri di negara ini untuk berkongsi ilmu serta kemahiran
dengan pengamal silat di seluruh dunia. Silat kini mula terkenal di
negara-negara seperti Azerbaijan, Jerman, Belanda, Rusia, Sepanyol,
Belanda, Itali, Perancis dan terbaharu berjaya menembusi ke Korea
Selatan.
“Jika melihat kembali pada Kejohanan Remaja Dunia di Titiwangsa,
Kuala Lumpur baru-baru ini, Korea Selatan telah menghantar pesilat yang
ramai dan prestasi mereka semakin meningkat walaupun baru diperkenal
awal tahun lalu.
“Di sana (Korea) mereka serius untuk mempelajari seni bela diri ini
dan cara mereka melakukan latihan juga secara bersistematik. Apa yang
saya kagumi adalah mereka sudah mempunyai gelanggang sendiri serta ahli
yang terdiri daripada orang Korea. Ini membuktikan silat mendapat
sambutan daripada penduduk di Korea walaupun ia adalah budaya Melayu.
“Jika taekwondo, wushu dan sebagainya mudah diperkenalkan kepada
negara-negara luar kenapa kita tidak boleh. Saya yakin peluang ini mampu
membuka lembaran baharu kepada pesilat kita untuk menukar kepakaran
masing-masing.
“Pada Mac ini, kita akan ke Korea untuk mengadakan perjumpaan bersama
wakil-wakil jurulatih di seluruh daerah di Seoul. Di sana nanti
jurulatih-jurulatih kita akan bersama mereka untuk belajar mengenai
silat.
“Selepas segala latihan dijalankan, saya difahamkan setiap daerah
mereka akan tubuhkan satu pusat pembelajaran mengenai silat ini. Saya
percaya suatu hari nanti Korea mampu menjadi kuasa baharu silat dan
tidak mustahil mampu untuk menewaskan pasukan negara,” katanya kepada
Kosmo! semalam.
Jelasnya lagi, dia tidak risau mengenai peningkatan prestasi
negara-negara luar seperti Korea Selatan mahupun Vietnam. Malah ia
adalah satu cabaran sukan yang sihat.
“Kita lihat pasukan luar bersungguh-sungguh untuk mempelajari silat
dan jika pasukan negara leka serta berada pada tahap sama tidak mustahil
kita akan ketinggalan. Namun saya percaya, pada kejohanan Remaja Dunia
di Titiwangsa minggu lalu, skuad pelapis remaja negara berada dalam
kelas tersendiri,” katanya.
Skuad remaja negara mempamerkan taring di gelanggang edisi ketiga
itu apabila muncul juara keseluruhan edisi ketiga di Stadium Titiwangsa
dengan kutipan 15 pingat emas, enam perak dan lima gangsa menerusi acara
silat olahraga dan silat seni.
Tambah Megat, selain Korea Selatan, pihaknya akan ke Azerbaijan, Baku
buat julung kalinya untuk mengembangkan sukan silat ini selepas negara
tersebut berhasrat untuk mempertandingkan silat dalam kejohanan Sukan
Perpaduan Negara Islam 2017.
“Pihak kita sentiasa optimis dan mahu mengembangkan sukan silat ini
ke seluruh dunia. Azerbaijan telah menghantar kira-kira 20 pesilat dalam
Kejohanan Remaja Dunia, baru-baru ini untuk menimba pengalaman.
“Kita lihat mereka (Azerbaijan) mempunyai potensi yang hebat kerana
ketika ini mereka telah mempunyai lebih 10 kelab yang terdiri dari
pesilat remaja. Kami akan ke Azerbaijan bersama guru-guru silat pada
Februari ini selepas mereka berhasrat untuk mempertandingkan silat dalam
kejohanan Sukan Perpaduan Negara Islam 2017,” katanya.
Katanya, sepanjang mereka di sana pihaknya akan turut ke negara yang
tidak pernah kenal mengenai silat sebelum ini seperti Uzbekistan,
Turkmenistan, Kazakhstan dan Tajikistan untuk memperkembangkan silat ini
ke serata dunia. Beliau berharap dapat terus memperkasakan pentas silat
di mata dunia.